Friday, 14 April 2017

Assalamualaikum Eropah



Dengan lafaz Bismillah, pagi 15 Januari 2017 di benua Eropah, kaki yang selama ini berpijak di atas tanah bumi Malaysia kini memulakan langkah pertama pada jarak 9,972 km jauh dari tanah kampung halaman. 18 jam berada pada ketinggian 10,972 m dari aras laut membuatkan diriku begitu terpukau dengan keindahan dunia. Sesekali memandang ke luar tingkap kapal terbang, menyaksikan kepulan-kepulan awan malam diselit dengan bintang-bintang yang cerah, mengingatkan aku pada Sang Pencipta. Benarlah perumpamaan melayu "Jauh perjalanan Luas pemandangan".

"Assalamualaikum Eropah". Ungkapan setiba di Lapangan Airport Zurich, Switzerland. Ketibaan aku di bumi Eropah disambut dengan tistisan salji yang memutih. SubhanAlah sungguh indah ciptaanMu Ya Allah. Sejuk kedinginan mula menusuk masuk ke jasad yang kerdil ini. Segera aku mengatur langkah ke kaunter imigresen Switzerland untuk mengesahkan "buku merah" yang masih bersih tanpa apa-apa cop. Perasaan gembira, teruja, sedih mula bercampur baur bila membayangkan mimpi selama ini telah menjadi kenyataan. Pertama kali aku menaiki kapal terbang dan pertama kali aku terbang jauh dari keluarga. Namun, berbekalkan semangat dan azam, aku kuatkan diri untuk memulakan pengembaraan di bumi asing ini. Tempoh selama 6 bulan akan berada di bumi Eropah ini bukan suatu tempoh masa yang singkat bagi aku. Tambahan lagi, dugaan bagi aku agak besar apabila terpaksa menjalani ibadah puasa dan raya aidilfitri di perantaun untuk tahun ini. Dan yang paling mencabar, hanya aku dan seorang kawan perempuan dari universiti yang sama yang merupakan rakyat Malaysia di kawasan yang bakal aku duduki. Tak dapat aku bayangkan bagaimana hari-hari mendatang. Adakah aku akan tabah dan kuat dalam menjaga batas keimanan aku? Apakah aku sudah bersedia untuk lebih mendekatkan diri padaNya?

Selesai mengesahkan "buku merah", aku segera ke ruangan menuntut bagasi untuk menuntut bagasi milik aku. Ketika leka mencari tandas di dalam lapangan tersebut, tetiba aku terdengar suara memberi salam pada kami berdua. Lantas aku memusingkan badan, dan berdiri 3 jasad yang merupakan sepasang suami isteri dan seorang wanita. Tekaan aku tepat sekali bahawa ketiga-tiga insan tersebut adalah rakyat Malaysia. Aku menghulurkan tangan dan bersalaman dengan seorang lelaki tersebut. Alhamdulillah, Allah telah memudahkan urusan pertama aku di bumi Eropah ini. Sepasang suami isteri tersebut merupakan rakyat Malaysia yang telah bermastautin selama hampir 8 tahun di Zurich dan memiliki sebuah restoran makanan Malaysia sendiri berdekatan lapangan terbang tersebut. Manakala seorang lagi wanita tersebut merupakan kakak kepada si isteri. Setelah aku perhatikan semula wanita tersebut, rupa-rupanya dia berada dalam penerbangan yang sama dengan aku dari lapangan Singapura.

Kami singgah di sebuah kedai didalam lapangan terbang dan membeli roti serta kopi untuk dijadikan sarapan. Alhamdulliah rezeki kami apabila pasangan suami isteri tersebut menawarkan untuk membelanja sarapan kami. Begitu banyak cerita yang dikongsikan selama hampir 1 jam setengah bersarapan. Mereka menceritakan bagaimana kehidupan bermula dengan bekerja dari bawah sehingga sekarang tealah mempunyai restoran sendiri dan terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia yang berkunjung ke Zurich. Namun apabila mengingatkan bahawa perjalanan kami masih berbaki lebih kurang 80 km dari Zurich ke Lorrach,Germany, aku meminta diri untuk meneruskan perjalanan. Urusan membeli tiket keretapi dari Zurich ke Lorrach dibantu oleh pasangan tersebut. Sekali lagi urusan kami dipermudahkan.





Pada jam 9.43 pagi waktu tempatan, kami berdua menaiki keretapi dari lapangan terbang Zurich ke stesen keretapi Basel SBB iaitu stesen keretapi sempadan antara Switzerland dan Germany. Aku terpaksa menukar keretapi untuk ke Lorrach, dimana merupakan destinasi terakhir. Kali ini agak mudah apabila terdapat seorang pegawai keselamatan yang boleh berbahasa Inggeris dan membantu aku untuk membeli tiket di mesin tiket yang disediakan. Aku meneruskan perjalan ke Lorrach,Germany. Ketibaan kami di stesen keretapi Lorrach disambut oleh seorang pelajar cina dari China yang juga merupakan rakan serumah dengan aku di Lorrach. Salji masih lebat dan tebal ketika kami sampai di Lorrach. Kami bertiga memulakan perjalanan ke rumah sewa dengan menghantar kawan perempuan aku ke rumah sewanya yang tidak jauh dari stesen keretapi. Setelah itu, kami berdua melanjutkan perjalanan ke rumah sewa kami. Kami mempercepatkan langkah apabila rasa sejuk mula mencucuk badan ditambah lagi dengan titisan salji yang jatuh ke atas kepala kami.

Sesampai di rumah sewa, aku ditunjukkan ruangan bilik, dapur dan sekitar kawasan rumah. Semuanya kelihatan bagus. Perkara pertama yang aku lakukan setelah masuk ke ruangan bilik, aku terus menaikkan bidai tingkap dan melihat "hujan" salji di luar rumah sewa. Gembiranya tak dapat aku bayangkan. Aku masih lagi merasakan seperti aku masih lagi bermimpi memijak kaki di negara Germany ini. Sungguh aku masih belum percaya bahawa aku sudah berada di negara orang. Lamunan aku terhenti apabila email dan whatsapp mula masuk. Sekeping email dari pihak Universiti masuk kedalam "inbox" aku dengan isinya yang mengucapkan selamat datang ke Geermany dan meminta untuk aku melaporkan diri pada keesokan harinya.
Maka, bermulalah perjalanan aku sebagai musafir di bumi Eropah..
In shaa Allah setiap pengembaraan di negara-negara Eropah ini akan aku catatkan dalam blog ini.

Stay tuned!!






1 comment:

  1. Ehhh terjumpa your blog pulak! Kih3. Tak pernah taw pun eh selama pergi ISEM. cia cia cia! Jemput tengok blog baru Atin!

    BONUS: Pengalaman program pertukaran pelajar di Kozminski University, Poland (ERASMUS+/ISEM UNIKL)

    PENGALAMAN PROGRAM PERTUKARAN PELAJAR UNIKL BUSINESS SCHOOL (KLIK DI SINI)

    ReplyDelete